Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hasif Matzin
MUARA, Khamis, 12 Februari. - Project Sustainable Integration of Natural and Renewable Energy atau Projek SINAR yang dirasmikan hari ini menandakan satu detik penting dalam perjalanan Negara Brunei Darussalam (NBD) ke arah masa depan perindustrian yang mampan.
Projek SINAR merupakan penyelarasan strategik dengan aspirasi iklim kebangsaan NBD. Dengan kapasiti sekitar 51 Megawatt Peak (MWp), ia merupakan kemudahan penjanaan tenaga solar terbesar di NBD setakat ini.
Dari segi komitmen terhadap iklim, projek ini menyokong sasaran yang ditetapkan oleh Sekretariat Perubahan Iklim NBD untuk mencapai 30 peratus kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2035.
Demikian dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohd. Amin Liew bin Abdullah semasa berucap pada Majlis Perasmian Projek SINAR, berlangsung di Ibu Pejabat Hengyi Industries, Pulau Muara Besar, hari ini.
Yang Berhormat seterusnya berkata, sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-15 Hengyi Industries, kita menelusuri sebuah kerjasama yang telah berkembang seiring dengan pembangunan NBD.
Sejak penubuhannya, Hengyi Industries telah menjadi antara peneraju utama dalam sektor tenaga hiliran negara, menterjemahkan kejayaan perindustrian kepada peluang untuk NBD melalui penyediaan pekerjaan tempatan, pembangunan kemahiran khusus dan pembinaan kapasiti jangka panjang.
“Perjalanan ini tidak terhenti di sini. Dengan sokongan dan komitmen para pemegang saham, Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Strategic Development Capital Fund, Kementerian Kewangan dan Ekonomi serta Zhejiang Hengyi Group - Hengyi Industries bakal melaksanakan peluasan signifikan dalam beberapa bulan akan datang.
“Dijadualkan siap menjelang awal tahun 2029, peluasan ini akan menggandakan hampir tiga kali kapasiti pengeluaran loji penapisan - daripada 8 juta kepada 20 juta tan metrik setahun. Peningkatan ini bukan sahaja dari segi jumlah, malah juga dari segi nilai yang dijana," ujar Yang Berhormat.
Projek SINAR, tambah Yang Berhormat, merupakan nadi penting dalam konteks Pelan Induk Ekonomi NBD. Ketika negara giat memperkasa sektor bukan minyak dan gas, Projek SINAR menyediakan asas mampan bagi menyokong pertumbuhan tersebut.
“Kita juga sedang menyertai gerakan global hab perindustrian yang bukan lagi sekadar pengguna tenaga, tetapi menjadi peneraju dalam penyediaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui. Ini selaras dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 - memperhalusi sumber dan pendekatan kita bagi membina masa depan yang berdaya tahan, hijau dan makmur," terang Yang Berhormat.
Dalam mengakhiri ucapan, Yang Berhormat berkata, kerjasama antara NBD dan Hengyi Industries adalah berteraskan cita-cita bersama. Melihat ke hadapan, Yang Berhormat yakin hubungan strategik ini akan terus membawa manfaat yang bermakna kepada rakyat dan perniagaan negara.